Thursday 4 December 2014

Biografi : Cikgu Farrahiyah



Menjejaki Cikgu Sharifah Nur Farrahiyah Bt Syed Hood yang merupakan guru bahasa Inggeris SK Bukit Jalil tidaklah sesukar mana. Beliau seorang guru yang bersifat keibuan terhadap anak muridnya. Walaupun bersikap tegas namun beliau cukup menyanyangi murid-muridnya. Dalam pengajarannya setiap hari, cikgu Farrahiyah merupakan seorang guru yang kreatif dalam pengajarannya supaya murid-muridnya sentiasa berminat dalam pelajaran. Beliau memulakan perkhidmatan sebagai seorang guru pada tahun 2006 dan ditempatkan di SK Bukit Jalil. Sebelum itu beliau merupakan seorang wartawan di syarikat New Straits Times selama tiga tahun. Oleh kerana minat belia yang mendalam dalam bidang pendidikan cikgu Farrahiyah meneruskan pengajian beliau dalam bidang diploma pendidikan di Maktab Perguruan Islam dalam bidang pengkhususan TeSL. Bermula saat itu, beliau mula melangkah dengan lebih yakin dan berani untuk menempuhi segala dugaan dan ujian dalam arena pendidikan yang penuh mencabar.

Kecemelangan beliau dalam bidang akademik dan ko kurikulum memang tidak dapat dinafikan. Sepanjang perkidmatan beliau di SK Bukit Jalil, beliau menjadi guru bahasa Inggeris tahun 5 dan 6 yang mana banyak membantu pihak sekolah dalam merancang dan meningkatkan prestasi subjek bahasa Inggeris dalam peperiksaan dalaman mahupun UPSR. Beliau turut membantu pihak sekolah bersama guru-guru yang lain dalam setiap program kecemerlangan UPSR yang diadakan oleh pihak sekolah. Selain itu beliau turut berperanan sebagai pemeriksa kertas UPSR subjek bahasa Inggeris sejak tahun 2011 sehingga kini. Beliau juga pernah menjadi guru pembimbing ‘English Story Telling’ pasukan SK Bukit Jalil pada tahun 2013. Dalam bidang ko-kurikulum pula, cikgu Farrahiyah pernah menjadi ketua guru rumah sukan Bendahara pada tahun 2010. Disebabkan sumbangan cikgu Farrahiyah sebagai guru yang berdedikasi dan sangat komited terhadap tugasnya, oleh itu pada tahun 2011, cikgu Farrahiyah telah mendapat Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) yang dikurniakan oleh Jabatan Pelajaran Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Sesunguhnya perpindahan beliau dari SK Bukit Jalil merupakan satu kehilangan yang besar bagi rakan-rakan seperjuangan dan pihak pentadbir.

Raut wajah damai dan tenang,
Tiada terkalam kasih dijunjung,
Jasa baktimu tetap dikenang,
Budi baikmu tetap disanjung…






* Biografi ini ditulis oleh Puan Rozilawati